Sunday, February 10, 2008

FIKIR SEBELUM PANGKAH, FIKIRLAH UNTUK PERUBAHAN

1. Sebagai pengundi anda perlu fikir sebaik mungkin sebelum memangkah kerana anda juga mengundi untuk masa depan negara ini dan masa depan anak-anak anda. Aspek pertama yang anda perlu fikirkan adalah prestasi BN yang telah memerintah antara PRU 11 hingga ke PRU 12. Dalam tempoh satu penggal dibawah pemerintahan PM Abdullah Ahmad Badawi, apakah yang BN hadiahkan kepada rakyat? Adakah PM telah mungkir janji pada rakyat? Adakah Abdullah dan pemimpin-pemimpin parti BN telah berjaya memimpin negara dengan beramanah, adil dan bersih, dalam kefahaman yang mudah jadi contoh tauladan kepada rakyat. Bagaimana dengan Pelan Integrasi Nasional (PIN)?, adakah janji tinggal janji?.

2. Anda sebagai pengundi yang bijak perlu mengetahui apakah manifesto dan tawaran-tawaran parti-parti politik kepada rakyat sebelum memangkah. Adakah anda merasakan tawaran parti tertentu dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi majoriti rakyat ketika ini. Adakah anda yakin calon parti yang menang selepas PRU 12 ini akan menyuarakan kehendak rakyat ini, antaranya meringankan beban kos sara hidup rakyat berpunca dari kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barangan. Adakah kenaikan kos sara hidup ini menghakis kemakmuran hidup rakyat dimana majoriti rakyat tidak lagi merasai kesenangan dan keselesaan hidup tetapi himpitan-himpitan yang timbul dari desakan-desakan keperluan hidup.

3. Anda jangan mudah terpedaya dengan projek dan ganjaran ketika hampir pilihanraya. Ianya lebih bermotifkan politik dan retorik bertujuan meredakan kemarahan rakyat terhadap BN. Projek sebegini adalah projek kempen pilihanraya bertujuan untuk memulihkan semula keyakinan rakyat mengundi calon mereka. Persoalannya mengapa wujudnya budaya projek-projek kecil ditangguhkan hingga PRU 12 atau tergesa-gesa dilaksanakan pada saat akhir sepertimana berlaku semasa PrK Ijok? Inikah caranya BN melayan masalah yang ditanggung rakyat seolah-olah rakyat perlu mengemis sehingga masuk kempen pilihanraya? Beginikah caranya kebajikan ala BN yang tidak prihatin malah tidak meletakkan keutamaan menyelesaikan masalah rakyat sebagai agenda utama sekadar tipudaya politik. Adakah anda melihat bahawa kebajikan ala BN bergantung kepada tahap reaksi rakyat terlebih dahulu iaitu sejauhmana isu atau sesuatu masalah itu menjejas kedudukan politik mereka.

4. Anda perlu mempersoalkan segala nikmat kurnia kekayaan sumber alam keatas negara ini. Adakah khazanah dan kekayaan hasil mahsul dari sumber alam ini diuruskan secara cekap dan berkesan sehinggalah nikmat itu dapat disalurkan kepada setiap rakyat diseluruh negara agar sama-sama menikmatinya tanpa mengira bangsa, atau ianya dibolot kroni parti politik tertentu. Perbuatan membolot ini telah menyempitkan nikmat kepada rakyat sehingga menyukarkan rakyat mengucapkan syukur keatas apa yang mereka dapat, bukan bersyukur diatas perbandingan dengan negara lain yang lebih daif.

5. Anda cubalah memahami bahawa situasi sekarang memerlukan rakyat sedar untuk membuat perubahan agar rakyat dapat keluar dari keadaan sekarang, atau terus berhadapan dengan tekanan hidup berpunca dari desakan-desakan keperluan. Adakah anda membiarkan nikmat kekayaan alam ini sebahagian besarnya dibolot atau dihadkan hanya berlegar dikalangan golongan kroni parti tertentu. Pembolotan kekayaan ini adalah faktor utama menyumbang perlebaran jurang antara golongan kaya dan miskin.

6. Anda perlu mengambilkira keadaan keselamatan rakyat yang semakin terancam. Adakah faktor keselamatan ini memberi petunjuk jelas bahawa situasi sekarang semakin tidak aman? Apakah ertinya selamat jika hati gelisah disebabkan kes-kes jenayah semakin meningkat di taman-taman dan kampung-kampung. Penjenayah terus bermaharajalela hingga terdapat kes melibat orang yang berprofail tinggi.

7. Anda wajar tahu bahawa prinsip demokrasi telah sewenang-wenang sahaja dicabuli dan hak-hak asasi rakyat dinafikan. BN sesukahati sahaja mengeluarkan peraturan, akta dan sebagainya yang mencabuli prinsip hidup berdemokrasi semata-mata pemimpin tidak mahu mendengar suara bantahan dan pandangan rakyat. Berbagai pihak telah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa yang akhirnya menutup segala ruang untuk rakyat menyuarakan masalah dan ianya semakin mengheret negara ini kearah satu keadaan yang tidak stabil mengancam keamanan rakyat.

8. Anda juga perlu memikirkan masa depan pendidikan dan kesihatan anak dan keluarga dari aspek beban kos, kerana BN hendak berniaga dengan rakyat mencari keuntungan seperti pinjaman PTPTN, kos perubatan semakin mengangkasa. Adakah anda setuju dengan mengambilkira sumber alam yang kaya?

9. Andakah anda dapat merasai suatu keadaan yang tenat berlaku berpunca dari penyelewengan kuasa dan rasuah yang parah dan membarah?. Sebagai contoh, kes rasuah 'ikan besar' telah gagal diselesaikan, malah 'ikan bilis' menjadi fokus utama BPR?

10. Andakah anda mendapati tanggungjawab calon terhadap rakyat telah diabaikan sebelum ini. Jika diabaikan maka calon seperti ini wajar ditolak pada kali ini dalam pilihanraya umum ke 12 ini. 

FIKIR UNTUK PERUBAHAN, FIKIRKAN BA
SATU-SATUNYA PENYELESAIAN UNTUK ANDA

No comments: