Thursday, February 7, 2008

MENGENALI BORANG-BORANG SPR


Borang A:

Borang Sumpah Kerahsiaan. Borang ini perlu diisi dihadapan Pesuruhjaya Sumpah oleh semua petugas PACA dan diserahkan kepada Ketua Tempat Mengundi di saluran undi yang ditugaskan sebelum pukul 7.30 pagi. Petugas PACA yang tidak menyerahkan borang ini tidak dibenarkan memasuki bilik mengundi.

Borang B:

Borang Penyata berkenaan perbelanjaan pilihanraya oleh calon dan ejen calon. Penyata ini perlu diserahkan kepada SPR selepas pilihanraya bagi mendapatkan semula deposit.

Borang C:

Borang Akuan Sumpah berkenaan pernyata perbelanjaan pilihanraya oleh calon.

Borang D:

Borang Akuan Sumpah berkenaan pernyata perbelanjaan pilihanraya oleh ejencalon.

Borang 1 :

Borang 1 SPR adalah Writ Pilihanraya kecil di mana SPR mengarahkan Pegawai Pengurus Pilihanraya di bahagian pilihanraya yang terlibat untuk mengadakan pilihanraya. Di dalam borang ini, SPR mestilah menyatakan bahagian pilihanraya (Parlimen atau DUN) yang kosong utk terlibat dengan pilihanraya, tarikh penamaan calon dan tarikh hari mengundi.

Borang 2:

Borang 2 SPR adalah Notis Pilihanraya Umum setelah Dewan (Parlimen atau DUN) dibubarkan. Notis ini dikelarkan oleh SPR kepada Pengurus Bahagian Pilihanraya Parlimen/DUN. Ia mesti menyatakan dewan perundangan yang dibubarkan, tarikh pembubaran dewan, tarikh penamaan calon dan tarikh hari mengundi. Borang ini ditandatangani oleh Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia .

Borang 3:

Borang 3 SPR adalah Notis kepada orang awam bagi memilih seorang wakil Parlimen/DUN melalui pilihanraya. Notis ini ditampalkan ditempat awam. Ia juga mesti menyatakan tarikh penamaan calon dan hari pengundian disamping syarat-syarat yang perlukan untuk proses penamaan calon.

Borang 4:

Borang penamaan calon untuk di isi oleh calon Parlimen. Ia mestilah mempunyai butir serta tandatangan calon, pencadang dan penyokong. Ia juga perlu menyatakan bahagian pilihanraya yang calon terlibat untuk bertanding. Pencadang dan penyokong mestilah dari kalangan pengundi yang berdaftar di dalam bahagian pilihanraya Parlimen terbabit.

Borang 4A:

Borang penamaan calon untuk diisi oleh calon DUN. . Ia mestilah mempunyai butir serta tandatangan calon, pencadang dan penyokong. Ia juga perlu menyatakan bahagian pilihanraya yang calon terlibat untuk bertanding. Pencadang dan penyokong mestilah dari kalangan pengundi yang berdaftar di dalam bahagian pilihanraya DUN terbabit. Alamat calon DUN mestilah berada di dalam negeri yang ditandingi, tetapi tidak semestinya di dalam DUN yang ditandingi.

Borang 5.

Borang Akuan Berkanun (Surat Sumpah) untuk calon Parlimen. Borang ini mestilah ditandatangani di hadapan Hakim/Pesuruhjaya Sumpah dan disertakan semasa menyerahkan borang penamaan calon.

Borang 5A

Borang Akuan Berkanun (Surat Sumpah) untuk calon DUN. Borang ini mestilah ditandatangani di hadapan Hakim/Pesuruhjaya Sumpah dan disertakan semasa menyerahkan borang penamaan calon.

Borang 6

Borang untuk menarik diri bagi calon Parlimen.

Borang 6A

Borang untuk menarik diri bagi calon DUN.

Borang 8

Notis Pengundian oleh SPR (sekiranya ada pertandingan) . Ia akan menyatakan calon-calon yang diterima penamaan calon untuk bertanding.

Borang 9

Bentuk muka depan Kertas Undi untuk bahagian pilihanraya yang terlibat.

Borang 10

Borang Akuan Mengenai Identiti. Borang ini mestilah diisi oleh mereka yang mahu menemani pengundi kurang upaya yang mahu mendapatkan bantuan semasa mengundi. Hanya mereka yang ada talian kekeluargaan sahaja yang dibenarkan memberi bantuan kepada pengundi kurang upaya. Bagaimanapun Ketua Tempat Mengundi dibenarkan membantu pengundi kurang upaya yang tidak mempunyai pembantu dengan menyebut perkataan dengan kuat yang boleh didengari oleh PACA. PACA mestilah memastikan peraturan ini berkuatkuasa semasa proses pengundian.

Borang 11.

Borang Akuan yang perlu diisi oleh pengundi yang diragui identitinya oleh ketua tempat mengundi atau PACA walaupun namanya ada tertera dalam daftar pemilih. PACA boleh memanfaatkan borang ini semaksima mungkin bagi “discourage” pengundi yang diragui.

Borang 12A

Borang 12A adalah notis SPR bagi proses pengiraan undi yang dilakukan di tempat mengundi. Notis ini memberi kuasa kepada Ketua Tempat Mengundi untuk menjalan kiraan kertas undi di tempat mengundi.

Borang 13

Borang ini adalah borang Penyata Kertas Undi. Ia akan menyatakan jumlah kertas undi (beserta no siri) yang diterima oleh Pegawai Pengurus dari SPR, bilangan kertas undi yang telah dikeluarkan oleh kepada pengundi (beserta no siri), bilangan kertas undi yang rosak (tidak dapat diberikan kpd pengundi), dan kertas undi yang tidak digunakan. Ejen calon perlu memastikan jumlah-jumlah ini dalam keadaan yang betul dan munasabah sebelum meletakkan tandatangannya di atas borang ini.

Borang 14

Borang Penyata Pengundian selepas kiraan undi. Borang ini menyatakan keputusan undi yang diperolehi oleh setiap calon dan undi rosak mengikut saluran. Ejen mengira undi (PACA) boleh meminta kiraan semula dibuat di sini sebelum keputusan rasmi dibuat melalui Borang 14. Ejen calon (PACA) juga mestilah mendapatkan salinan borang 14 yang telah ditandatangani oleh Ketua Tempat Mengundi sebelum keluar dari bilik mengundi dan menyerahkan borang 14 ini kepada petugas Bilik Gerakan.

Borang 15

Borang Penyata Pengundian selepas pengiraan Undi Pos. Sama seperti Borang 14, ejen calon bagi pengiraan undi Pos juga hendaklah mendapatkan salinan borang ini dan diserahkan kepada Bilik Gerakan.

Borang 16

Borang Penyata Pengundian selepas keputusan penjumlahan rasmi dibuat di pusat penjumlahan undi. Keputusan ini menentukan kalah menang seseorang calon bagi bahagian pilihanraya yang ditandinginya.

No comments: