Thursday, February 7, 2008

PAS Akan Lantik Orang Cina Jadi Menteri



Muda Mohd Noor | Feb 6, 08 5:45pm ( Malaysiakini )


PAS akan memastikan hak dan kebebasan orang bukan Islam dalam negara ini terjamin, malah kebajikan mereka akan lebih terbela, kata Pesiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, sesiapapun tidak boleh menganggu kebebasan dan hak mereka dan kepakaran mereka akan digunakan untuk memajukan negara.

"Berdosa kepada orang Islam untuk berlaku tidak adil kepada semua orang, sama ada orang Islam atau pun bukan Islam.

"Orang Cina yang pandai dan layak boleh dilantik menjadi menteri. PAS akan memberi ruang yang lebih banyak kepada orang bukan Islam," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di pejabatnya di ibu negara Isnin lalu.

ehubungan itu, bekas Menteri Besar Terengganu itu menggesa masyarakat Cina supaya tidak takut untuk mengundi PAS dalam pilihanraya umum akan datang.

Bagaimanapun, katanya, orang Cina yang boleh menerima pelbagai ajaran seperti sosialis dan komunisme tetapi masih was-was dengan politik Islam yang dibawa oleh PAS.

"Apa salahnya mereka menerima politik Islam, tanpa menganut Islam. Hukum hudud hanya untuk orang Islam, manakala orang bukan Islam mereka boleh memilih undang-undang sendiri.

"Lebih penting PAS tidak akan menghalang kemajuan sesuatu kaum dengan syarat mereka membantu kaum lain yang masih ketinggalan.

Bantu semua kaum

"Orang Islam yang kaya raya sekalipun bukan sahaja perlu membantu kaumnya tetapi semua rakyat yang miskin," katanya.

Abdul Hadi berkata, negara kebajikan yang mahu diamalkan oleh PAS boleh dilaksanakan jika amalan rasuah tidak wujud di dalam negara ini.

Katanya, PAS pernah mencuba semasa parti itu memerintah Terengganu di mana pembiayaan rakyat diperolehi daripada pelbagai sumber termasuk wang zakat.

Beliau berkata, tauke-tauke balak memberi sumbangan kepada kerajaan negeri kerana mereka gembira rasuah dalam pemberian kawasan balak telah dihapuskan.

Tauke balak, kata Abdul Hadi merasa gembira kerana sebelum itu mereka terpaksa membayar rasuah yang lebih banyak daripada cukai balak.

"Rawatan kesihatan percuma, pendidikan percuma dan sebagainya telah diamalkan di England," katanya sambil menambah, bukan orang tua yang tiada pendapatan, perlu dibantu.

Beliau berkata, konsep negara kebajikan PAS ialah mengenakan cukai untuk bidang tertentu seperti pembalakan dan perniagaan besar supaya cukainya boleh digunakan untuk membantu rakyat.

Katanya, peniaga kecil tidak dikenakan cukai sebagaimana yang dibuat oleh kerajaan PAS Terengganu iaitu menghapuskan cukai bakul.

No comments: